Aidilfitri: MOT diminta pertimbang cadangan lanjut tempoh subsidi tiket penerbangan kepada seminggu
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) diminta untuk mempertimbangkan cadangan untuk memanjangkan tempoh pemberian subsidi tiket penerbangan daripada tiga hari kepada seminggu menjelang Aidilfitri ini.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, inisiatif tersebut adalah bagi memberi peluang lebih ramai rakyat Sabah untuk pulang ke kampung berhari raya bersama keluarga.
“Pada kesempatan ini saya ingin menzahirkan terima kasih kepada Kementerian pengangkutan diatas pemberian subsidi tiket penerbangan selama tiga hari sempena sambutan hari raya Aidilfitri yang akan datang.
“Sekiranya dapat dilaksanakan, saya berharap agar Kementerian pengangkutan dapat mempertimbangkan untuk melanjutkan tambahan hari bagi pemberian subsidi tiket penerbangan ini selama seminggu bagi memberi peluang lebih ramai lagi rakyat Sabah untuk pulang berhari raya bersama keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan permintaan untuk penetapan RM599 harga maksimum tiket penerbangan kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Aidilfitri dipanjangkan dari tiga hari kepada dua minggu akan membabitkan kos yang besar.
Dalam pada itu, Suhaimi turut meminta penjelasan berhubung bagaimana mekanisme pemberian subsidi tersebut akan dilaksanakan.
“Saya berharap agar kementerian dapat memberikan penjelasan serta perincian tentang perkara ini,” katanya lagi.