Berita Semasa

Transformasi Ekonomi Bumiputera dasar kepada KEB2024 – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) akan menjadi dasar kepada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) yang bermula pada hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, TEB berperanan bagi menjamin penglibatan dan hak Bumiputera dan pada masa yang sama mewujudkan kesalingan (synergy) dengan bukan Bumiputera.

“Mahu atau tidak, rela atau tidak, kesalingan antara kaum amat penting dalam memugar aktiviti ekonomi negara.

“Bertitik tolak daripada hasrat DEB (Dasar Ekonomi Baru) yang tidak mahu lagi aktiviti ekonomi dikaitkan dengan identiti kaum, hari ini tembok itu telah pun berjaya diruntuhkan.

“(Kini) Kaum Bumiputera tidak lagi sinonim dengan usaha tani, Cina bukan lagi mendominasi gelaran saudagar begitu juga dengan kaum India, tidak lagi berlegar di perladangan,” kata Ahmad Zahid, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya ketika merasmikan KEB2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, TEB mempunyai tiga matlamat utama iaitu Keadilan Sosio-Ekonomi; Kemampanan Negara Bangsa; dan Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.

“Ketiga-tiga matlamat utama ini (adalah) bagi memastikan, dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara, bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak Bumiputera tetapi pada masa yang sama memastikan wujudnya kesalingan (synergy) dengan bukan Bumiputera,” kata Ahmad Zahid.

Beliau kemudiannya menambah, penceritaan bahawa ekonomi negara dikuasai oleh kumpulan minoriti akhirnya akan mengundang resah kaum majoriti yang pada akhirnya mewujudkan kesenjangan sosial.

“Keadaan sebegini tentunya tidak sihat bagi sebuah negara yang telah melebihi enam dekad dibangunkan secara bersama,” katanya lagi.

KEB2024 yang berlangsung mulai hari ini merupakan manifestasi kerangka ekonomi MADANI dalam memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi bumiputera.

Berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, kongres menyasarkan penyertaan seramai 3,000 peserta termasuk wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta wakil masyarakat Orang Asli.

Show More

Related Articles

Back to top button