Tiada hujan selepas pembenihan awan di Pulau Pinang
GEORGE TOWN – Dua operasi pembenihan awan yang dijalankan di kawasan tadahan air (KTA) negeri ini tidak berjaya menghasilkan hujan, kata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Pathmanathan berkata, operasi kelmarin dan semalam yang dilakukan oleh pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak merekodkan sebarang hujan sekali tidak meningkatkan kapasiti dua empangan iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.
Katanya, keadaan itu dipercayai disebabkan oleh keadaan atmosfera dan awan yang tidak begitu menggalakkan.
“Pembenihan awan biasanya boleh merangsang lebih banyak hujan jika terdapat awan hujan pada ketinggian tertentu.
“Jika tiada awan, awan tidak mencukupi atau jika suhu udara terlalu tinggi untuk titisan air terbentuk di awan dan jatuh, pembenihan awan mungkin tidak merangsangkan sebarang hujan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pathmanathan berkata, permohonan pembenihan awan itu dilakukan pada 8 Februari lalu oleh PBAPP iaitu pada musim antara monsun yang sepatutnya menyaksikan banyak awan hujan di Pulau Pinang.
“Justeru, PBAPP berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menugaskan TUDM untuk menjalankan operasi pembenihan awan tambahan di Pulau Pinang pada bulan depan,” katanya.
Kata beliau, sehingga Khamis, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam mencatatkan 37 peratus manakala Empangan Teluk Bahang, 79.1 peratus.
“Pada 1 Januari lalu, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam adalah 68.9 peratus berbanding 37 peratus yang dicatatkan pada hari ini. Perbezaan peratusan adalah 31.9 peratus.
“Bagi Empangan Teluk Bahang pula, kapasiti efektif pada 1 Januari adalah 95.4 peratus berbanding hari ini iaitu 79.1 peratus. Ia menunjukkan perbezaan sebanyak 16.3 peratus,” katanya lagi.
Pathmanathan berkata, kapasiti efektif maksimum Empangan Air Itam ialah 2,160 juta liter (ML) manakala Empangan Teluk Bahang, 18,240 ML.