Kerajaan tidak berhasrat sediakan dana khas untuk artis luar adakan konsert
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak berhasrat untuk menyediakan dana khas bagi menarik minat artis luar mengadakan konsert di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, fokus kementeriannya pada masa ini adalah untuk memudahkan proses permohonan penganjur untuk mengadakan konsert.
“Kebanyakan acara ini adalah antara syarikat swasta yang menandatangani kontrak perjanjian bagi membawa masuk dan bagi hak eksklusif pada acara tersebut.
“Contoh, pada tahun lalu, bagi konsert Muse di mana penganjur telah ‘black out’ di sebahagian Asia dan hanya mengadakannya di Kuala Lumpur, itu tanpa dana kerajaan.
“Jadi saya lihat lihat pada waktu ini, kementerian tidak menyediakan dana itu,” katanya
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia, di sini hari ini.
Tambah Fahmi, sekiranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berhasrat untuk menyediakan dana tersebut, ia terpulang kepada kementerian itu dan barisan Kabinet.
“Kita lebih kepada memudahkan proses permohonan jawatankuasa Agensi Permohonan, Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara.
“Sebelum ini, ia ambil masa lama untuk dapatkan pengesahan dan kebenaran. Jadi, saya lihat dalam bidang kuasa kementerian, kita kurang tenpoh masa itu,” ujarnya lagi.