‘Saya ahli Muafakat Nasional’ – Nik Elin
CYBERJAYA – Peguam kontroversi, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid mengesahkan dirinya ahli Muafakat Nasional (MN).
Laporan BH Online menyebut, beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif di podcast Beyond the Headlines, New Straits Times bagi menjawab dakwaan yang tular di media sosial.
“Presiden MN sendiri menjemput saya untuk menyertai dan apabila menyemak laman web mereka, ia menekankan perpaduan, kasih sayang, kebebasan dan keadilan yang saya percaya bermanfaat untuk Malaysia.
“Saya memohon keahlian secara dalam talian dan permohonan diluluskan serta-merta,” kata Nik Elin.
Ini adalah susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mereka yang memulakan cabaran Perlembagaan adalah dari Kelantan yang juga ahli MN.
Ketika ditanya hubungannya dengan mana-mana parti politik, Nik Elin berkata, beliau adalah ahli UMNO dan bernaung di bawah Parti Melayu Semangat 46 (S46).
“Saya bukan ahli politik, tetapi saya bergabung dengan mana-mana parti politik yang kelihatan baik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran 18 ketetapan syariah yang dibawa ke mahkamah oleh beliau dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman tidak berkaitan langsung dengan sebarang kepentingan politik.
“Kami tidak disokong oleh sesiapa, ia hanya kami berdua dan peguam kami,” katanya lagi.
Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel hakim sembilan orang, membuat keputusan penting untuk menolak 16 daripada 18 peruntukan yang dicabar.