Berita Semasa

Tiada keperluan bawa cadangan kampung baru Cina warisan UNESCO ke Kabinet, Parlimen – Tok Mat

KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk mengisytiharkan beberapa kampung baru Cina di Selangor sebagai warisan Tapak Warisan Dunia UNESCO perlu dibawa ke peringkat Kabinet dan dibahas di Parlimen, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Walau bagaimanapun, Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“UMNO sudah keluarkan kenyataan menyatakan pendirian kami. Usaha Menteri KPKT ini bukan mudah. Jadikan tapak UNESCO bukan sesuatu yang mudah, perlukan rundingan, perlu bawa ke Kabinet jika perlu pindaan bawa ke Parlimen untuk diluluskan.

“UMNO rasa itu bukan keperluan wujudkan kampung baru Cina sebagai tapak UNESCO,” katanya kepada media selepas sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini hari ini.

Terdahulu, Kor Ming dalam cadangannya, mahu mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri Selangor bagi mengisytiharkan beberapa kampung baru Cina di Selangor sebagai warisan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu menolak keras cadangan itu dengan mengatakan ia terlalu besar dan boleh menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung, walapun bagi tujuan sektor pelancongan negara.

Hari ini, Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menyifatkan cadangan itu tidak logik dan hanya berunsur rasis serta bermotifkan politik kaum.

Mengulas mengenai pendirian UMNO yang menentang dalam isu tersebut, Mohamad Hasan berkata, ia tidak akan menjejaskan hubungan mereka sebagai parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya kira ia tidak akan menjejaskan hubungan, kerana kita memberikan pendirian itu sebagai rakan dalam parti (dalam Kerajaan Perpaduan),” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button