Berita Semasa

Program taklimat kewarganegaraan anjuran ADUN Stulang ditangguhkan

KUALA LUMPUR – Majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, Johor yang dijadualkan pada 30 Jun ini ditangguhkan selepas mencetuskan kontroversi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng berkata, taklimat berkenaan diadakan bagi menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa, selain sebab-sebab lain.

Bagaimanapun, katanya, penganjuran program itu menimbulkan salah faham ramai susulan penularan posternya.

“Oleh itu, Program Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan yang dijadualkan pada 30 Jun ditangguhkan. Taklimat berkenaan berkaitan isu tidak memiliki status kewarganegaraan adalah kerana beberapa punca seperti jika bapanya rakyat Malaysia dan ibu warga asing, perkahwinan tidak sah taraf dan tidak dapat didaftar di Malaysia.

“Anak yang lahir tidak mempunyai sijil kelahiran, ibu tidak dapat dikesan. Akibatnya anak tidak dapat bersekolah, sukar mencari pekerjaan tetap, tidak layak memiliki kenderaan dan lesen memandu, ia seterusnya dibimbangi membawa kepada masalah sosial.

“Dalam taklimat itu disediakan senarai dokumen diperlukan bagi setiap kes, selain penerangan untuk merujuk kepada jabatan terbabit yang perlu dikunjungi bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Kah Eng juga meminta semua pihak tidak menimbulkan spekulasi berhubung program ini.

“Diharap tiada pihak menimbulkan spekulasi kerana ia berpunca daripada salah faham yang timbul dari tajuk poster kami,” katanya.

Sebelum ini, poster program berkenaan tular di media sosial hari hingga menerima kecaman pelbagai pihak.

Malah terdapat pihak yang meminta polis menyiasat mengenai program tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button