Selangor fokus tingkatkan industri AI
SHAH ALAM – Selangor akan memberi fokus kepada industri baharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang mengoptimumkan industri pembuatan terutamanya yang beralih kepada automasi, industri pembuatan dron di Selangor, serta industri berteknologi tinggi seperti digitalisasi dan cip mikro.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pada tahun ini, juga beliau akan membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama.
“Pembentangan ini akan merangkumi usaha-usaha ini serta memberi
penekanan agar kualiti perkhidmatan di peringkat pihak berkuasa tempatan
dapat terus diperbaiki bagi keselesaan rakyat.
“Selangor akan memberikan penekanan bukan sahaja kepada pembangunan
infrastruktur baharu tetapi meningkatkan kualiti penyelenggaraan infrastruktur
yang telahpun dibina,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina hari ini.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri akan terus komited untuk membantu kanak-kanak dengan meningkatkan jumlah pelajar yang bakal menerima tuisyen rakyat secara percuma bagi manfaat lebih 100,000 anak Selangor.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga telah meningkatkan baucar Jom Shopping Perayaan daripada RM100 kepada RM200 bagi keluarga di negeri Selangor.
“Seramai 82,400 penerima dijangka menerima manfaat sempena perayaan-perayaan utama taun ini, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, dan perayaan kini iaitu Tahun Baru Cina,” katanya.
Sementara itu, katanya, sempena Tahun Naga beliau berharap negara bertambah kukuh dan stabil.
“Naga Kayu adalah unik kerana merupakan kombinasi keutuhan kayu yang menggambarkan kestabilan, kesetiaan, dan kejujuran, manakala Naga itu sendiri mempunyai kedudukan khas dalam fahaman Cina yang membawa maksud kekuatan, kebijaksanaan, dan kemakmuran.
“Pemaknaan simbol ini hadir tepat pada waktunya, apabila negara kita bertambah kukuh dan stabil, dan ini merupakan asas untuk kemakmuran rakyat dan negara dapat dicapai.
“Kerjasama Perpaduan yang ikhlas dan bukan sekadar kata-kata seperti kelompok lain terbukti sudah mula mengangkat potensi ekonomi negeri dan negara ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.