MCPF Selangor tawar ganjaran RM20,000 bagi pemberi maklumat kes bunuh Allahyarham Zayn Rayyan
SHAH ALAM – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada mana-mana individu yang dapat menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah yang terlibat dalam kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, pada Disember lalu.
Timbalan Pengerusi MCPF Selangor, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, ganjaran berkenaan adalah salah satu usaha dalam memastikan individu terlibat dalam kes ini dapat segera ditangkap.
“MCPF bersedia tawar ganjaran kepada mana-mana individu berkaitan kes pembunuhan Zyan Rayyan ini.
“Ganjaran ini akan diberikan menerusi Polis Selangor dan kita telah mendapat persetujuan daripada Pengerusi MCPF sendiri berkaitan tawaran ganjaran ini,” kata Thaiveegan.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar bersama Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini.
Disember lalu, kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan ditemukan tidak bernyawa di sebuah anak sungai berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.
Sebelum itu, Allahyarham yang berusia enam tahun dilaporkan hilang di kawasan kediamannya.