Kastam rampas 13 tan ayam sejuk beku dari Thailand
KOTA BHARU – Hasil intipan selama dua minggu yang dilakukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya menumpaskan penyeludupan ayam sejuk beku yang diragui status halal.
Dalam serbuan pukul 8 pagi semalam, JKDM berjaya merampas 13.3 tan bekalan ayam sejuk beku bernilai RM99,679 (termasuk cukai) di Kampung Pulau Tebu, Jalan Kuala Krai, di sini.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, ayam berkenaan dirampas dari dua lori jenis Hino yang ditinggalkan tanpa pemandu di tepi jalan.
“Penyeludup dipercayai membawa ayam sejuk beku menggunakan sampan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sebelum dibawa dengan kenderaan ke destinasi seterusnya.
“Mereka dipercayai menggunakan kenderaan penumpang, lori atau van bagi membawa ayam sejuk beku untuk diedar di pasaran tempatan dan luar Kelantan,” katanya dalam kenyataan.
Wan Jamal berkata, kesemua ayam dirampas dan kes disiasat mengiukut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Katanya, sekiranya sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000.
Pelaku juga boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.