Sektor pelancongan mampu jana kesan limpahan ekonomi – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sektor pelancongan di negara ini dirancakkan agar mewujudkan kesan limpahan kepada sektor-sektor ekonomi lain yang berkaitan.
Menurut Perdana Menteri, menerusi sektor pelancongan, pendapatan rakyat khususnya di kawasan luar bandar dapat ditingkatkan.
“Oleh sebab itu, kerajaan perlu cepat membangun produk dan infrastruktur pelancongan dengan kebersamaan pemain sektor swasta,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) pagi tadi.
Turut hadir, menteri-menteri dan pegawai kanan jabatan serta agensi Kerajaan yang terkait.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, mesyuarat tersebut merupakan jawatankuasa khusus bagi menyelaras pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan demi memajukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan pilihan utama dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Saya turut singgung pentingnya mempermudah dan mempercepatkan proses kelulusan berkaitan serta menambah baik operasi khususnya di lapangan terbang.
“Di samping itu, kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025 perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin dalam mencapai sasaran VM2026,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menghadiri mesyuarat itu melihat kempen VM2026 tersebut amat ideal bagi sektor pelancongan desa.
“Harapan saya agar semua agensi di bawah kelolaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat mengambil peluang dan melihat peri pentingnya penganjuran VM2026.
“Mempromosikan produk buatan usahawan-usahawan desa ini kepada pelancong asing dan juga tempatan yang seterusnya meletakkan industri pelancongan desa sebaris dengan industri lain dalam negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.