Jualan Ihsan Rahmah setiap 24 hari bulan, rancakkan Tahun Melawat Melaka
MELAKA – Bagi menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2024, Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) akan dijalankan pada setiap 24 hari bulan, maklum Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Menurut Armizan, PJIR Tahun Melawat Melaka diwujudkan bagi meningkatkan kerjasama antara pemain industri dalam sektor peruncitan seperti pasar raya di Melaka dengan KPDN untuk menawarkan diskaun bagi program jualan bulanan.
“PJIR Tahun Melawat Melaka 2024 ini akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri Melaka pada setiap 24 Januari sehingga Disember 2024.
“Ia melibatkan 11 jenama pasar raya dan hypermarket di sebanyak 58 lokasi premis peruncitan.
“Selain itu, sebanyak 24 barangan yang ditawarkan diskaun di antara 10 hingga 30 peratus meliputi barangan keperluan dapur dan harian seperti lampin pakai buang bayi, sabun mandi, sabun pencuci pinggan, beras, telur, minyak masak botol, susu pekat dan banyak lagi.
“Selain merancakkan sektor peruncitan, hasrat kita untuk menyantuni rakyat tempatan dalam membantu menangani kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kita mahu rakyat melihat bahawa Tahun Melawat Melaka bukan sekadar meraikan pelancong atau meraih nikmat ekonomi untuk negeri, malah rakyat tempatan juga mendapat limpahan manfaat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Armizan bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) sempena Tahun Melawat Melaka 2024 di Pasar Raya Family Store Masjid Tanah di sini.
Tambah Armizan, PJIR merupakan salah satu inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama pihak swasta dan industri di bawah cabang baharu Ikhtiar Ihsan Rahmah.
“Bermula tahun 2024, Ikhtiar Ihsan Rahmah diperkenalkan sebagai cabang baharu Agenda Payung Rahmah.
“Matlamat Ikhtiar Ihsan Rahmah adalah untuk menggalakkan penyertaan lebih banyak pihak swasta dan industri dalam memperluas pelaksanaan Agenda Payung Rahmah.
“Ini sekali gus menyediakan platform untuk sektor swasta dan industri memberikan sumbangan ihsan sebagai citra kepedulian mereka terhadap agenda kerajaan menangani isu kos sara hidup rakyat,” kata Armizan.
Selain PJIR, bersempena Tahun Melawat Melaka 2024, KPDN juga akan menganjurkan Program Jelajah Mini KPDN yang antara lain bertujuan untuk mempromosi barangan buatan Malaysia.
“Program tersebut akan dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Melaka setelah selesai persiapan awal dengan Kerajaan Negeri Melaka,” jelas Armizan.