‘Hak saya suarakan pandangan’ – Tun M
PUTRAJAYA – Bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan kontroversi berkaitan bangsa Cina dan India sambil berkata ia merupakan haknya untuk menyuarakan pandangan peribadinya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar khas setelah selesai memberi keterangan kepada pihak polis pada kira-kira pukul 4.04 petang tadi.
Proses mengambil keterangan itu dibuat di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini oleh tiga pegawai polis dan berlangsung selama kira-kira satu jam.
Polis mengambil keterangan Dr Mahathir berhubung dengan kenyataan dikeluarkan oleh bekas Ahli Parlimen Langkawi itu ketika muncul dalam satu rancangan berita luar negara, berkait masyarakat India di negara ini yang masih tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia.
Kata Dr. Mahathir, beliau diaju 19 soalan oleh pihak polis sambil rakaman temubual tersebut turut dipertontonkan kepada beliau.
“Saya tengok rakaman tersebut… Saya tak nampak ada apa yang salah.
“Saya mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan, tapi nampaknya pandangan itu salah,” kata Dr. Mahathir.
Beliau berkata, beliau turut memberitahu pihak polis bahawa beliau akan menjawab soalan selanjutnya berkenaan hal demikian di mahkamah nanti.