Fahmi lancar Pakej P-Hailing RAHMAH
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi hari ini melancarkan Pakej P-Hailing RAHMAH sebagai satu inisiatif menyokong ekosistem ekonomi digital.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, menerusi pakej tersebut, pemandu dan penunggang p-hailing akan menikmati perkhidmatan internet serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB, dengan setiap pakej adalah unik dan berbeza mengikut persetujuan pihak telco yang dipilih oleh penyedia platform masing-masing.
Pakej ini turut melibatkan kerjasama dengan 16 syarikat penyedia platform p-hailing, iaitu FoodPanda, Grab, Bungkusit, Halo Delivery, iHantar, Lalamove, MatDespatch, Parcel365, RideRunner, Shopee, Fasz Food, Lazada Logistics, Belibeli, iGoGet, GoGet dan GoLog.
“Kita semua sedia maklum cabaran yang dihadapi oleh penunggang dan pemandu p-hailing yang seringkali terpaksa mengharungi keadaan cuaca yang tidak menentu seperti panas terik dan hujan lebat dalam memberikan perkhidmatan kepada kita semua selaku pengguna.
“Justeru, memahami penat lelah dan rintangan yang dihadapi oleh mereka, adalah penting bagi kerajaan dan pemain industri melakukan apa yang kita mampu untuk meringankan beban yang mereka hadapi dalam melaksanakan tugasan seharian,” kata Fahmi, hari ini.
Beliau berkata demikian majlis pelancaran pakej berkenaan di Angkasapuri Kota Media Media, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua-ketua Pegawai Eksekutif syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta penyedia platform p-hailing.
Fahmi berkata, pengenalan pakej ini sudah tentu akan dapat meningkatkan keterhubungan digital penunggang p-hailing dan membolehkan mereka mengakses maklumat yang diperlukan semasa melaksanakan tugas.
“Apa yang lebih penting adalah inisiatif ini bakal membuka pintu rezeki dan peluang untuk memperkasakan p-hailing, sejajar dengan matlamat Kerajaan MADANI dalam penciptaan peluang pekerjaan dan menyediakan saluran untuk rakyat Malaysia memperoleh pendapatan yang mampan,” kata Fahmi lagi.