Seri Paduka perkenan calon TYT Sarawak yang baharu
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak yang baharu akan diumumkan dalam sehari dua lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nama calon yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah minggu lalu, telah menerima perkenan baginda.
“Proses pelantikan TYT (Sarawak) kita tahu atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong, dikemukakan oleh Premier (Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri) Abang Johari (Tun Openg).
“Saya telah kemukakan calon nama itu kepada Agong dan telah diperkenan dan akan diumumkan mungkin dalam satu ke dua hari,” kata Anwar, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan ‘The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia’, di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Mengenai laporan peletakan jawatan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Speaker Dewan Negara,Anwar berkata: “”Tentang Yang Dipertua Dewan Negara, kita akan adakan mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan malam ini untuk bincang supaya dapat disegerakan pelantikannya,” katanya lagi.
Peletakan jawatan Wan Junaidi dikaitkan dengan ura-ura bahawa beliau akan dilantik ke jawatan TYT Sarawak ke-8 tersebut.