Berita Semasa

Prihatin nasib penghantar makanan, pakej khas telco diumum esok – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil akan mengumumkan satu pakej khas telco untuk semua pemandu e-hailing di Malaysia dengan kadar diskaun istimewa.

Beliau berkata, langkah itu sebagai menghargai dan membantu golongan tersebut dalam berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Sejurus selepas tiba di Putrajaya, saya meminta kesemua ketua pegawai eksekutif telco untuk datang berjumpa, sekali gus mencadangkan kepada mereka agar mewujudkan pakej internet khas, khusus buat riders sahaja. Saya faham sepenuhnya bahawa sebagai syarikat swasta, rundingan ini bukanlah sesuatu yang mudah.

“Selepas proses perbincangan yang panjang, tercapai kata putus bahawa semua syarikat telco akan menyediakan pakej khas untuk semua e-hailing riders di Malaysia dengan diskaun istimewa. Syukur Alhamdulillah, saya bakal mengumumkan pakej ini esok,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya.

Fahmi berkata, langkah itu diambil selepas beliau bertemu dengan seorang penghantar Foodpanda ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Lembah Pantai.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu, penghantar makanan itu meluahkan mengenai situasi kewangan yang dihadapinya.

Fahmi Fadzil bertemu dengan seorang penghantar makanan ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Lembah Pantai.

“Saya terserempak dengan seorang rider Foodpanda, Nazirul. Sempat juga meluangkan sedikit masa untuk berbual dan mendengar luahannya.

“Ceritanya kepada saya, beliau seorang ayah kepada dua orang anak yang masih kecil. Pendapatannya kira-kira RM4,000 sebulan dan isterinya pula tidak bekerja. Jumlah itu memang tak cukup untuk tampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Susu dan lampin bayi pun dah mahal, kadang-kadang kena tanggung kos perubatan ahli keluarga, simpanan memang tak ada langsung.

“Lebih menyedihkan lagi, dah 2 bulan beliau tak mampu bayar bil telefon. Ada masa terpaksa pinjam RM200 duit member semata-mata nak bayar bil, memandangkan kegunaan telefon adalah keperluan paling penting bagi seorang rider,” katanya.

Fahmi berkata, hasil daripada perbualan itu telah tercetus idea untuknya bagi membantu golongan penghantar makanan bagi meringankan beban mereka.

 

Show More

Related Articles

Back to top button