Berita Semasa

Tindakan penguatkuasaan di Rumah PWM selaras undang-undang

Tidak benarkan aktiviti komersil di kawasan kediaman

KUALA LUMPUR – Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tindakannya merobohkan struktur di Rumah Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) dibuat selari dengan undang-undang yang tidak membenarkan aktiviti komersil dijalankan di kawasan kediaman.

DBKL dalam satu kenyataan semalam menyebut, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan setelah pemantauan pihaknya sendiri dan setelah menerima aduan awam.

“Pemantauan pada 16 Oktober 2023 mendapati, di tapak terlibat telah didirikan beberapa struktur khemah untuk majlis perkahwinan.

“Selain itu, terdapat juga 2 gegantung iklan yang dipasang di luar pagar tapak ini yang menyatakan mengenai pelawaan Tempahan Pakej Perkahwinan dan Tempahan Pelbagai acara di Laman Tinta Wangsa beralamat di tapak No. 19A,” kata DBKL dalam kenyataan tersebut, semalam.

DBKL turut menerima aduan awam pada 1 Disember 2023 mengenai pembinaan struktur yang disyaki tanpa kebenaran di alamat tersebut.

Semakan ke atas premis tersebut mendapati, rumah banglo dan tanah di atas lot yang dinyatakan merupakan hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan kawalan Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri untuk kegunaan kediaman.

“Rumah kerajaan di atas lot 63 ini telah disewakan kepada PWM bagi tujuan dijadikan Pejabat Urusan,” kata DBKL lagi.

DBKL turut menegaskan bahawa tindakan amaran lisan serta beberapa notis telah diberikan kepada penyewa tapak seperti:

1) Memberikan amaran lisan kepada penyewa pada 16 Oktober 2023 mengenai kesalahan aktiviti dan mendirikan struktur tanpa kebenaran termasuk untuk tujuan aktiviti laman pengantin;

2) Memberikan notis penguatkuasaan serta arahan memberhentikan kerja ‘Stop Work Order’ (SWO) bertarikh 4 Disember 2023 di bawah Seksyen 70 (1) Akta Parit Jalan dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa kelulusan dari DBKL;

3) Mengeluarkan Notis Kesalahan dan Tawaran Kompaun bertarikh 05 Disember 2023 bagi kesalahan di bawah Seksyen 70 (13) (d) kepada penyewa tapak kerana tidak mematuhi arahan dan meneruskan kerja-kerja pembinaan dengan membuka tali seal yang dipasang DBKL; dan

4) Mengeluarkan satu Notis Penguatkuasaan Borang 9 (Kaedah 9) kepada Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) pada 8 Disember 2023 di bawah Seksyen 26 (1) (b) Akta Perancangan WPKL 1982 (Akta 267). Notis telah disampaikan dengan menampal di pintu pagar utama kerana tiada penghuni semasa notis hendak diserahkan.

Berkenaan pertukaran status tanah, DBKL berkata, PWM sebelum ini telah mengemukakan permohonan menerusi Jabatan Perancangan Bandaraya pada 30 November 2023 bagi menukar status lot berkenaan daripada status Perumahan kepada Perdagangan.

“Walaubagaimanapun, Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat 1 pada 19 Disember 2023 telah memutuskan permohonan ditolak kerana tapak ini dikhaskan sebagai tapak Kediaman 1(R1) sepertimana yang telah diwartakan di dalam Pelan Bandar Raya 2020 (PBRKL2020).

“Selain itu, mesyuarat juga memutuskan sebarang aktiviti berbentuk perniagaan juga tidak dibenarkan kerana menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar,” kata DBKL.

DBKL turut memaklumkan, tindakan merobohkan struktur berkenaan selaras dengan Seksyen 19 dan Seksyen 26(1)(b) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) atas kesalahan mendirikan struktur sementara dan berkaitan dengannya tanpa perintah pembangunan.

Show More

Related Articles

Back to top button