Berita Semasa

PADU ‘game changer’ kepada pengurusan data Malaysia – Fahmi

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan hari ini menjadi ‘game changer’ (perubahan) kepada pengurusan data di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, menerusi PADU semua data diletakkan di bawah satu bumbung

“Kita ada 455 institusi sektor awam di Malaysia. Bayangkan, sebelum ini, kalau nak berurusan dengan 3 institusi sektor awam, kita perlu isi banyak dokumen berbeza dan bawa berpuluh dokumen sokongan tapi maklumat yang diisi hampir sama.

“Sekarang, di bawah PADU, semua data di bawah satu bumbung,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, melalui sistem ini juga, kerajaan akan lebih mudah untuk menyalurkan subsidi dan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, menerusi pembaharuan itu rakyat tidak perlu lagi mengisi data berulang-ulang kali.

Pembangunan PADU dilaksanakan secara dalaman oleh Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) tanpa membabitkan perunding luar bagi membina kepakaran dan keupayaan penjawat awam selain pada masa yang sama bertujuan untuk memastikan keselamatan data terjamin.

Platform itu juga akan menjadi sumber rujukan berpusat yang mengandungi profil individu yang menyeluruh merangkumi maklumat demografi dan pelbagai maklumat seperti pendidikan, kesihatan, bantuan sosial yang diterima dan pendapatan isi rumah.

Orang ramai boleh mendaftar PADU sekarang di https://www.padu.gov.my/

Show More

Related Articles

Back to top button