Jenayah & Mahkamah

Polis yakin remaja 16 tahun hilang ditemui semula

HULU SELANGOR – Polis masih mengesan seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang dari surau perumahan Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, di sini, pada pagi 1 Januari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, sehingga semalam pihaknya dibantu polis kontinjen Kuala Lumpur untuk mengesan remaja berusia 16 tahun itu.

“Usaha mengesan adiknya masih kita lakukan. Sampai malam tadi pun Jabatan Siasatan Jenayah mengesan (petunjuk).

“Kita positif akan menemui remaja ini dalam masa terdekat berdasarkan risikan dan tangkapan yang kita buat,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Semalam, polis menahan seorang individu susulan kehilangan dua beradik lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki dilaporkan hilang pada pagi 1 Januari lalu, selepas pulang dari solat Subuh di surau.

Pada malam 11 Januari lalu, seorang daripadanya ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Ibu mangsa yang berusia 39 tahun berkata anaknya yang mesra dengan panggilan Along, mendakwa dia dan adiknya, dilarikan individu tidak dikenali dan dikurung di sebuah motel di Jalan Petaling.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 17 tahun, 12 Januari lalu.

Beliau berkata, mangsa mendakwa dirinya dicabul dan diperlakukan perkara tidak senonoh oleh seorang individu di sebuah hotel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Mohd Asri memaklumkan pencarian pihaknya setakat semalam merangkumi kawasan sekitar Jalan Petaling termasuk sebuah pusat beli-belah berdekatan.

“Semalam cari mangsa di sekitar kawasan Jalan Petaling hingga ke Kota Raya, berdasarkan risikan terhadap suspek.

“Dia dipisahkan sehari sebelum IPD Dang Wangi membuat serbuan di hotel itu,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button