Kerajaan China tawar 1,000 biasiswa untuk lepasan TVET Malaysia
MELAKA – Sebanyak 1000 biasiswa ditawarkan oleh Kerajaan China kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan dibahagikan dalam kalangan institusi TVET sedia ada di negara ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, biasiswa tersebut merangkumi kursus dalam bidang automotif, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan bidang berteknologi tinggi yang baharu seperti kenderaan elektrik (EV).
“Tawaran itu untuk 1,000 pelajar terutama dalam bidang automotif, Kerajaan China cuma minta tiket kapal terbang saja dibayar oleh pelajar,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara menyempurnakan pelancaran program ‘TVET Place & Train UTeM@KPT’ di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini.
Menurut Dr Zambry, program bersepadu melibatkan empat pelantar utama tersebut dilaksanakan selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Negara 2030 (NIMP2030) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September lalu.
“Disifatkan sebagai sebuah program bernilai tinggi, empat platform utama iaitu JELITA UTeM@KPT; UTeM-Industrial Playground; Industry-MTUN Cybersecurity Consortium; dan National Industrial Career Expo (NICE@UTeM), UTeM mensasarkan sekitar 30,000 tenaga kerja mahir dalam bidang TVET dapat dilahirkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Zambry, TVET Place & Train UTeM@KPT’ akan turut menyumbang kepada peningkatkan kebolehpasaran graduan (GE) bergaji premium di samping membantu komuniti dan negara dalam menangani masalah pengangguran serta menyuntik pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan negara.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ekosistem TVET di negara ini amat kompleks.
Justeru, beliau berkata ia memerlukan pengurusan dan kemahuan politik yang tinggi daripada semua kementerian yang terlibat di dalam Majlis TVET Negara (MTVET) agar ia mampu menjadi pemangkin utama melonjakkan sosioekonomi negara.
“TVET akan memperkukuh dan memperkasa negara kita untuk menangani isu-isu dari segi penggunaan tenaga kerja dari luar negara,” ujar beliau lagi.