AS Travel & Tours Sdn Bhd, Koperasi Usahawan Intelektual Siswazah Malaysia anjur konsert A.M.A.L
KUALA LUMPUR – Sebuah konsert yang berkonsepkan makan malam hasil inisiatif daripada syarikat AS Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Koperasi Usahawan Intelektual Siswazah Malaysia Berhad akan diadakan pada 3 Mac ini bertempat di Hotel Whyndam, Klang.
Menurut pengarah projek, Amirullah Basarullah, konsert yang bertemakan A.M.A.L itu bertujuan untuk memberikan penghargaan dan anugerah khusus ke atas jasa anak-anak seni selama ini.
“Antara barisan artis yang akan membuat persembahan pada malam tersebut seperti Datuk Hattan, Man Keedal, Noraniza Idris, Ifa Raziah, Baby Shima dan Bob Sentuhan Busker.
“Mereka ini tidak perlu diperkenalkan lagi dengan genre lagu-lagu yang malar segar dan sentiasa menjadi siulan apabila lagu mereka berkumandang,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Katanya lagi, beberapa artis yang akan diundang untuk menerima sumbangan pada malam tersebut adalah Shima, Uji Rashid, Zaiton Sameon, Lord Lokman (Ella & The Boys) dan juga Toki’.
“Pastinya program ini secara tidak langsung memberi peluang, ruang dan pentas bagi mereka untuk beraksi kembali dan mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan mereka dan terus berkarya bagi meneruskan kehidupan yang lebih sempurna dengan gabungan dan kerjasama daripada artis ternama yang masih relevan sehingga kini.
“Diharapkan program yang julung kalinya diadakan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak ini akan menjadi titik tolak memacu wacana kerja amal sepadu ini seiring dengan tujuan sebenar yang berkonsepkan “Tiada Siapa Yang Dipinggirkan”,” ujarnya.