2 anggota polis didakwa rogol, peras ugut remaja Uzbekistan dan kekasihnya
AMPANG – Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan termasuk merogol remaja warga Uzbekistan berusia 17 tahun dalam kenderaan peronda polis (MPV), minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Fazrul Razzi Yunus, 31, yang berpangkat Lans Kopral mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, lapor Buletin TV3.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa merogol, melakukan amang seksual fizikal, persetubuhan bertentangan aturan tabii dan hubungan seks ke atas remaja itu tanpa kerelaannya.
Kesalahan didakwa dilakukan di tepi Jalan Persiaran Saujana Ampang, jam 10.30 malam, 9 Januari lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1), 377C dan 377CA Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
Tertuduh berdepan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh disebat jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM20,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Muhammad Fazrul Razzi dan seorang lagi anggota polis, Konstabel Muhammad Adib Aikal Sharul Nizam, 24, mengaku tidak bersalah kerana melakukan pemerasan terhadap kekasih mangsa yang sebaya dengan mangsa di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan bahawa rakaman individu berkenaan dan kekasihnya sedang bercumbu akan disebarkan dan dengan itu mendorong supaya mangsa menyerahkan RM500 kepada Muhammad Fazrul Razzi dan Muhammad Adib Aikal.
Kesalahan dilakukan di tepi Jalan Ampang Hillview, Ampang, jam 10.09 malam, 9 Januari lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan tidak mendekati mangsa dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 12 Mac ini untuk sebutan semula kes.