Pengislaman 3 anak Siew Hong tidak sah – Mahkamah Rayuan
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan status quo agama Islam tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong yang ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, membuat keputusan berkenaan secara sebulat suara, lapor BH Online.
Pada 25 Mac 2022, Siew Hong memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suaminya yang memeluk Islam sekali gus memohon membatalkan pengislaman berkenaan.
Siew Hong menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.
Siew Hong diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas sepasang kembar perempuan berusia I6 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun.