Berita Semasa

Kesihatan Presiden PAS bertambah baik – Setiausaha politik

PETALING JAYA – Kesihatan Presiden PAS Hadi Awang yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak Isnin lalu, dilaporkan semakin baik.

Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Che Sulaiman, berkata Ahli Parlimen Marang itu hanya menunggu masa untuk dibenarkan keluar wad selain dinasihatkan berehat selepas itu.

“Alhamdulillah, keadaan ayahanda tuan guru semakin baik dan akan dibenarkan keluar dari IJN pada bila-bila masa.

“Tetapi ayahanda tuan guru dinasihatkan untuk terus berehat sebaik keluar IJN,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Hadi, 76, dimasukkan ke IJN untuk menjalani pemeriksaan jantung.

Selain itu, Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, keadaan Hadi akan terus dipantau walaupun dibenarkan keluar dari IJN.

Katanya, sepanjang tempoh rehatnya Hadi turut meluangkan masa menulis menerusi “Minda Presiden PAS” di Facebook rasminya.

“Alhamdulillah, ayahanda tuan guru meluangkan masa untuk menulis dan melayari internet bagi mengikuti perkembangan semasa terutama konflik Palestin dan Israel.

“Ayahanda tuan guru juga banyak meluangkan masa membaca al- Quran,” katanya.

Bagaimanapun, Syahir berkata pengurusan IJN menasihatkan supaya Hadi tidak menerima pelawat.

“Kita sendiri pun banyak dihubungi oleh pimpinan PAS yang bercadang untuk menziarahi ayahanda tuan guru, tetapi terpaksa akur dengan nasihat pengurusan IJN.

“Kita menyeru masyarakat untuk terus mendoakan kesihatan ayahanda tuan guru,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button