Berita Semasa

Musim tengkujuh: Kerajaan peruntuk RM255 juta bantu pekebun kecil getah – TPM

PUTRAJAYA – Peruntukan sebanyak RM255 juta disediakan bagi membantu pekebun kecil getah di seluruh negara yang terkesan akibat musim tengkujuh tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha ini merupakan langkah proaktif kerajaan dalam membantu meringankan beban dan menyokong kesejahteraan pekebun kecil dalam menghadapi cabaran pengeluaran hasil getah ketika ini.

“Sebanyak 311,596 permohonan telah diterima daripada jumlah sasaran penerima yang ditetapkan iaitu 318,750 individu melibatkan tiga agensi yang bertanggungjawab mengendalikan pembayaran ini.

“Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah menerima sebanyak 230,735 permohonan manakala bagi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), sebanyak 69,077 permohonan diterima dan
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebanyak 11,784 permohonan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi fasa penyaluran bantuan setakat ini, ketiga-tiga agensi telah mencapai prestasi bayaran RM140,829,600 yang mana pekebun kecil dan penoreh getah RISDA sebanyak RM76,140,800.

Katanya, bagi LIGS pula sebanyak RM55,261,600 dan FELDA sebanyak RM9,427,200.

“Secara keseluruhannya, setakat Disember, 271,213 permohonan telah diluluskan dan pemohon telah menerima bayaran sebanyak RM200 bagi bulan November dan Disember tahun 2023.

“Baki bayaran akan dikreditkan ke akaun penerima pada bulan Januari dan Februari tahun 2024 menjadikan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM800.

“Kelayakan penerima BMT melalui RISDA ini adalah kepada pekebun kecil dan penoreh merujuk kepada syarat utama yang ditetapkan, iaitu memiliki dan mengusahakan tanah bertanam getah tidak melebihi 2.5 hektar,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button