KPMC Haramain sediakan perkhidmatan kesihatan untuk jemaah haji dan umrah di tanah suci
KAJANG – Kajang Plaza Medical Centre (KPMC) hari ini secara rasminya melancarkan KPMC Haramain Sdn Bhd. yang bakal menyediakan perkhidmatan kesihatan bagi jemaah haji dan umrah khususnya dari Malaysia.
KPMC Haramain Sdn Bhd. adalah sebuah syarikat usahasama antara KPMC, DAR iHsan Bhd dan Shaikh Fawaz Basharaheel dari Arab Saudi yang memiliki pusat perubatan terkemuka di Makkah iaitu Hospital Basharaheel.
Menurut Ketua pegawai eksekutif (CEO) KPMC Harmain, Datuk Abdul Rahim Abdullah KPMC Haramain diwujudkan bagi membantu jemaah umrah dan haji khususnya golongan orang kelainan upaya (OKU), warga emas serta jemaah yang menghidapi penyakit kronik.
Katanya rawatan tersebut termasuk dialysis buah pinggang, pesakit asma, jantung dan lain-lain penyakit kritikal yang memerlukan pemeriksaan dengan kadar segera di tanah suci.
Dalam pada itu, Pengerusi KPMC, Datuk Saroni Judi, berkata kehadiran KPMC Haramain di Makkah pada Januari ini juga akan memudahkan urusan bayaran bagi pesakit yang memiliki insurans ketika mendapat rawatan.
“Bagi jemaah umrah dan haji Malaysia kalau perkhidmatan itu dikendalikan di Malaysia maka kita akan gunakan KPMC sebagai tempatnya, manakala bagi jemaah di tanah suci mereka boleh dapatkan rawatan di Hospital Basharaheel.
“Biaya kesihatan untuk menunaikan umrah dan haji adalah sangat tinggi dan kadang-kadang tempat untuk kesihatan itu tidak mencukupi, tetapi kalau pemilik hospital itu adalah pemegang syer kepada KPMC Haramain maka kita boleh sediakan ruang untuk rakyat Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran KPMC Haramain Sdn Bhd. di bangunan KPMC di sini, hari ini.
Yang hadir sama serta turut merasmikan majlis tersebut, Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA) Datuk Sohaimi Shahadan.
Sohaimi dalam ucapannya berharap KPMC Haramain mampu menjadi perintis untuk pihak lain merebut peluang perniagaan yang boleh dimanfaatkan bersama.
Mengulas lanjut, Saroni berkata, pihak KPMC Haramain turut menyasarkan RM1 juta bagi kempen wakaf yang akan digunakan untuk membeli peralatan kesihatan yang akan digunakan oleh para jemaah khususnya dari Malaysia.
“Kita hanya pelaksana yang akan menerima duit sumbangan tersebut adalah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) iaitu Presidenya, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Gabenor Tun Mohd Ali Mohd Rustam,” katanya lagi.