Sukan

Puma umum tamat kontrak tajaan pasukan bola sepak Israel

FRANKFRUT – Jenama sukan terkemuka, Puma menamatkan penajaannya kepada pasukan bola sepak kebangsaan Israel yang bagaimanapun tidak mahu dikaitkan sebagai tindakan boikot terhadap negara haram itu.

Kumpulan syarikat Jerman itu memaklumkan keputusan untuk tidak menyambung semula kontrak berkenaan diputuskan pada tahun lalu dan tidak mempunyai kaitan dengan konflik yang semakin memuncak.

Financial Times melaporkan, kontrak tajaan jenama sukan ketiga terbesar dunia yang ditandatangani pada 2018 itu akan berakhir hujung tahun depan.

Pasukan bola sepak Israel yang menerima tajaan Puma sejak 2018.

Puma sebelum ini menerima tempias daripada kempen boikot yang menuduh jenama itu menyokong penempatan haram Israel di Tebing Barat, Palestin.

Penamatan tajaan itu disambut baik oleh gerakan penyokong Palestin (BDS) yang menyifatkannya sebagai impak daripada boikot masyarakat antarabangsa terhadap Puma.

“Kami telah memaksa Puma untuk menghentikan penajaan mereka kepada Persatuan Bolasepak Israel (IFA),” kata BDS di paltform X.

Kenyataan itu disanggah IFA sebagai dakwaan untuk mengelirukan konsumer bahkan mendakwa pihaknya mempunyai pilihan untuk melanjutkan lagi kontrak selama dua tahun sehingga 2026.

“Kami memutuskan untuk tidak meneruskan kontrak selepas gagal mencapai persetujuan berhubung terma dan syarat yang lebih baik,” kata IFA.

Butik Puma dan beberapa jenama antarabangsa yang dikait sebagai memberi sokongan kepada Israel menjadi sasaran demonstrasi pro Palestin di beberapa kota besar di Eropah sejak kebelakangan ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button