Tidak wajar tukar pucuk pimpinan persatuan sukan setiap kali atlet kalah dalam pertandingan
PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berpandangan tiada kewajaran untuk menukar pucuk pimpinan sesebuah persatuan setiap kali atlet negara mengalami kekalahan.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
“Terdapat kritikan terhadap (KHM) Konfederasi Hoki Malaysia dalam beberapa artikel dan komen di media sosial beberapa hari lalu.
“Kita tidak boleh menukar pengurusan persatuan sewenang-wenangnya setiap kali pasukan kita mengalami kekalahan,” kata Hannah dalam hantaran tersebut.
Hannah berkata, Kejohanan Hoki 5s yang berlangsung di Muskat, Oman merupakan satu kejohanan yang pertama kali dianjurkan, namun pencapaian pasukan 5-sebelah negara yang juga baharu ditubuhkan sepatutnya menjadi kebanggaan semua.
“16 negara mengambil bahagian, dan kita menamatkan kempen dalam kejohanan tersebut di tempat kedua, dengan kapten Malaysia dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan,” kata Hannah lagi.
Untuk rekod, the Speedy Tigers menamatkan kempen mereka dalam Piala Dunia Hoki 5s di tempat kedua setelah tewas 2-5 kepada pasukan no. 1 Eropah, Belanda.
Bagaimanapun, kelukaan Malaysia sedikit terubat apabila kapten Speedy Tigers, Mohamad Akhimullah Anuar Esook dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.
Hannah turut menambah, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memajukan ekosistem sukan di Malaysia.
“Jadi kita mesti fokus pada masa depan dan terus memberi galakan kepada anak-anak kita bahawa tidak ada apa yang mustahil sekiranya kita bekerja keras,” kata Hannah lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune