Berita SemasaPolitik

Tujuh, lapan lagi Ahli Parlimen PN akan sokong PM, dedah Syed Abu Hussin

PUCHONG – Akan ada lagi ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang bakal menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dedah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Menurut beliau, tujuh hingga lapan orang pemimpin PN tersebut akan mengumumkan sokongan itu dalam masa terdekat.

Ditanya adakah pemimpin tersebut dalam kalangan ahli Bersatu atau Pas, beliau meminta untuk menunggu pengumuman yang akan dibuat pemimpin berkenaan tidak lama lagi.

“Sekarang ada tujuh hingga lapan orang. Tunggu masa akan ada pengumuman, dalam masa terdekat.

“Ada (Ahli Parlimen) yang berhubung dengan saya dan ada dengan orang lain. (Ahli Parlimen) dari beberapa negeri, kerana semua mereka dari kawasan Melayu,” katanya dalam satu sidang media pada Isnin.

Pada 28 November lalu, Syed Abu Hussin secara terbuka mengumumkan sokongan terhadap Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat.

Sebelum ini, empat ahli Parlimen daripada Bersatu bertindak menyokong Anwar.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Okt lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pada 30 Okt, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, sehingga kini, Bersatu belum mengambil apa-apa tindakan terhadapnya, malah beliau menegaskan, tindakannya menyokong Anwar tidak melanggar Perlembagaan parti.

“Saya masih lagi ahli Bersatu belum lagi diambil tindakan apa-apa.

“Saya tidak melanggar peraturan parti. Sebab parti dalam Perlembagaannya tidak melarang sesiapa yang memberikan sokongan, jadi apa yang saya buat ini tidak melanggar Perlembagaan parti.

“Kalau parti mahu mengambil tindakan dia akan bawa ke jawatankuasa disiplin dan jawatankuasa disiplin akan memutuskan apa tindakan yang boleh diambil,” jelasnya.

Tambah beliau, belum ada ada mana-mana pemimpin Bersatu atau PN berjumpa dengannya untuk mendapatkan penjelasan selepas membuat sokongan terbuka itu.

Menurut beliau lagi, nama beliau telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp PN selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Show More

Related Articles

Back to top button