MELAKA – Seorang pemilik syarikat jahitan pukal berasal dari Kemboja dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan menghina rakyat negara ini terutama orang Melayu, bulan lalu.
Mariyah Yaakob, 49, atau ‘Makcik Kemboja’, dan Ezuan Hafsham Mohd. Hisyam, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Mariyah didakwa membuat satu kenyataan dalam satu rakaman video di aplikasi Tik Tok yang menghina kaum Melayu sebagai pemalas berbanding orang Kemboja yang rajin berniaga.
Manakala Ezuan Hafsham didakwa melakukan penghantaran rakaman video seorang wanita yang membuat kenyataan bersifat jelik dengan niat untuk menyakiti hati orang lain yang menonton.
Kesalahan didakwa dilakukan di nombor 10-5, Kilometer 4, Bukit Piatu, Kampung Musai, Melaka pada pukul 6 petang, 16 November lalu.
Mariyah dituduh Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ezuan Hafsham pula didakwa mengikut Seksyen 233 kurungan 1 (A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Akta 588 yang memperuntukkan denda RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya jika disabit bersalah.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar manakala dua beranak itu diwakili peguam, Kamal Hisham Jaafar.
Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 12 Januari depan.