Aman Palestin sedia mohon semakan kehakiman terhadap SPRM
KUALA LUMPUR – Aman Palestin bersedia memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan membekukan akaun-akaun bank NGO itu.
Peguamnya, Rafique Rashid berkata, SPRM gagal menjawab tuntutan NGO tersebut agar akaun-akaun tersebut dinyah beku dan Aman Palestin tiada pilihan selain mengambil tindakan undang-undang.
Katanya, Aman Palestin tiada alternatif untuk mengumpul dana bagi menyalurkan bantuan musim sejuk kepada rakyat Palestin.
“Kami tidak menerima sebarang respons terhadap surat (kepada SPRM), walaupun dilaporkan menerusi banyak saluran media bahawa (SPRM) sedia dibawa ke mahkamah (berhubung perkara ini),” katanya memetik laporan FMT hari ini.
“(SPRM) akan dapat menyemak sama ada dakwaan bahawa dana itu tidak sampai (kepada penerima yang dimaksudkan) benar atau tidak.
“Dengan bertemu penerima bantuan terdahulu, mereka boleh mengesahkan sama ada ini kali pertama Aman Palestin terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan.”
Isnin lepas, Aman Palestin memberikan tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyah beku akaun-akaun bank mereka atau berisiko berdepan tindakan undang-undang.
Sebagai respons, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, agensi itu bersedia membela diri di mahkamah.
SPRM telah membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin dan beberapa syarikat lain – membabitkan dana berjumlah RM15.8 juta – sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan NGO itu menyeleweng sejumlah RM70 juta.
Siasatan itu melibatkan dakwaan bahawa Aman Palestin menyalurkan wang ke syarikat-syarikat tersebut.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla), serta Kanun Keseksaan.