Sukan

Kerajaan diminta pertimbang cadangan jadikan bekas pemain sebagai jurulatih bola sepak di sekolah

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan agar bekas pemain kebangsaaan menjadi jurulatih di peringkat sekolah rendah, mahupun sekolah menengah.

Menurut Hisamudin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pemain tersebut harus memenuhi kriteria dengan pernah bermain 50 kali mewakili skuad kebangsaan dan mempunyai sijil kejurulatihan.

“Saya ingin mencadangkan agar pihak Kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan supaya bekas-bekas pemain bolasepak yang pernah mewakili negara sebanyak 50 kali dan mempunyai sijil kejurulatihan, boleh diberikan elaun RM2000 sebulan untuk mengajar di peringkat sekolah rendah atau menengah,” katanya ketika berucap di Dewan Negara hari ini.

Tambah beliau, cadangan tersebut timbul selepas satu perjumpaan antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan bekas-bekas pemain bolasepak kebangsaan pada 16 Oktober yang lalu.

Kata beliau, dalam perbincangan bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tersebut, mereka menyatakan kesediaan untuk menjadi jurulatih bola sepak di sekolah-sekolah yang berada dalam jarak 5 kilometer dari rumah kediaman masing-masing.

Cadangan tersebut katanya telah diutarakan oleh lagenda boleh sepak negara, Datuk Santokh Singh dalam mesyuarat tersebut.

“Tujuan utama cadangan ini adalah untuk memastikan pelajar-pelajar di sekolah dapat belajar teknik dan cara yang betul dalam permainan bidang bola sepak.

“Perkara ini berbangkit susulan daripada maklum balas dan rungutan sesetengah ibubapa, bahawa guru yang mengajar sukan bola sepak adalah tidak tahu teknik asas bermain bola sepak,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau berharap agar cadangan ini dapat diterima baik oleh kerajaan dan bola sepak boleh dijadikan projek rintis untuk skim ini.

Show More

Related Articles

Back to top button