Berita Semasa

Berkuat kuasa 1 Januari 2026 umur ketua pertubuhan belia tidak boleh lebih 30 tahun

PUTRAJAYA – Berkuat kuasa 1 Januari 2026, penetapan umur belia akan dihadkan kepada 30 tahun berbanding usia sekarang.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan, ia susulan pindaan terhadap Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019.

“Pindaan ini antara lainnya melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua atau pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, bagi memudahcara proses transisi Majlis Belia Malaysia (MBM) dan pertubuhan belia di semua peringkat, pihaknya bersama dan MBM akan menubuhkan satu Jawatankuasa Bersama dengan diketuai oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Katanya, ia adalah bagi membincangkan perincian program-program transisi, serta
strategi bagi memperkasa kepimpinan dan meningkatkan keahlian pertubuhan belia dari golongan belia yang lebih muda lagi.

Pada masa sama, katanya, satu kerangka pelan transisi akan disediakan secara
konsultatif dengan pemegang taruh yang berkaitan pada suku pertama tahun hadapan untuk melancarkan proses transisi itu.

Sementara itu, menurut kenyataan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya telah hadir ke Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) bertempat di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Kuala Lumpur hari ini.

“Antara tujuan penganjuran MPBN adalah untuk menyediakan platform bagi mengadakan perbincangan secara
konstruktif dan inklusif melibatkan pembangunan belia; mengangkat suara dan pandangan golongan belia ke peringkat tertinggi kerajaan dan memperkasakan pembangunan belia daripada kepelbagaian perspektif seterusnya memberikan impak kepada negara.

“Selain untuk melahirkan belia dengan jati diri yang unggul selaras dengan pendekatan Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM 2030),” ujarnya.

Selain itu turut dibahaskan ialah lima usul pembangunan belia telah oleh perwakilan
sepanjang berlangsungnya persidangan itu.

“Persidangan kali ini turut mengumumkan keputusan jemaah menteri yang meluluskan pemberian bantuan pentadbiran sebanyak RM5 juta setiap tahun bermula tahun ini kepada MBM dan badan gabungan,” katanya.

INFOGRAFIK:

SENARAI USUL YANG DIBAHASKAN BAGI MPBN BAGI SIDANG I, PENGGAL 34, SESI 2023-2024

1. Bahawa Sidang ini mengambil ketetapan agar institusi kerajaan memperkasa inisiatif pembangunan karakter belia dan pemerkasaan negara bangsa.

2. Bahawa Sidang ini mengambil ketetapan agar menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji cadangan agar ahli-ahli pertubuhan belia dan pemimpin belia diberi peranan sebagai pembantu guru di sekolah bagi menangani masalah beban tugas pendidik.

3. Bahawa Sidang ini mengambil ketetapan bagi memohon kerajaan mengkaji penggubalan Dasar Pekerja Belia Profesional.

4. Bahawa Sidang ini menggesa agar kerajaan segera mengkaji semula persempadanan pilihanraya di atas faktor peningkatan pengundi muda selepas pindaan Perlembagaan UNDI 18.

5. Bahawa Sidang ini mencadangkan kepada pihak Kerajaan untuk mewujudkan dan memperkasa ekosistem sokongan dalam usaha
memartabatkan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE)

Show More

Related Articles

Back to top button