10 pegawai Maritim Malaysia naik pangkat
PUTRAJAYA – Seramai 10 pegawai penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima kenaikan pangkat daripada Komander Maritim kepada Kepten Maritim gred T22 hari ini.
Majlis pemakaian pangkat disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin di Ibu Pejabat Maritim Malaysia.
Masing-masing pegawai yang menerima kenaikan pangkat berkenaan akan mengisi kekosongan jawatan di peringkat ibu pejabat, negeri dan zon maritim.
Antaranya ialah Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, daripada Bahagian Penguatkuasaan Maritim, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), akan mengisi jawatan sebagai Pengarah Maritim Selangor.
Daripada 10 orang pegawai berkenaan, dua daripadanya merupakan penerbang iaitu Kepten Maritim Mohd Ikmal Ridzuan yang merupakan Ketua Skuadron Helikopter AW139, Stesen Udara Maritim Subang yang akan ditempatkan mengisi jawatan sebagai Ketua Stesen Udara Maritim Subang.
Seorang lagi penerbang, Kepten Maritim Mohammad Al-Amin Hashim
daripada Seksyen Rancang Operasi, Cawangan Operasi, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia akan mengisi jawatan sebagai Ketua Cawangan Dasar
Perancangan dan Penerbangan, Bahagian Operasi Udara, Ibu Pejabat Maritim Malaysia.
Sempena kenaikan pangkat ini juga, dua daripada pegawai berkenaan akan
ditempatkan sebagai Pengarah Zon Maritim iaitu Kepten Maritim Mohd Iszuadi Mohamad Hassan (Bintulu) dan Kepten Maritim Izwanhadi Idros (Labuan).
Lima lagi pegawai penguat kuasa maritim yang menerima kenaikan pangkat ialah Kepten Maritim Mohd Shah Rulashari Ahmad Omar daripada Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Ibu Pejabat ditempatkan sebagai Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa, Ibu Pejabat Maritim Malaysia.
Pegawai berikutnya adalah Kepten Maritim Mohd Ariz Md Kassim daripada
Cawangan Jenayah Komersial dan Alam Sekitar, Bahagian Siasatan Jenayah
Maritim, akan mengisi jawatan sebagai Ketua, Cawangan CARILAMAT, Bahagian
CARILAMAT dan Bantuan Bencana, Ibu Pejabat Maritim Malaysia.
Manakala Kepten Maritim Syuzefril Mat Noor yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Komander Pasukan STAR Team, dinaikkan pangkat dan ditempatkan dijawatan yang sama.
Selain itu Kepten Maritim Razali Kasim, Ketua Cawangan PSMM dan PASKAM,
Bahagian Sumber Manusia akan bertugas di Cawangan Operasi Risik, Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat Maritim Malaysia dan Kepten Maritim Mohd Sharenliza Ghazali yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor akan mengisi jawatan sebagai Ketua Cawangan C4ISR, Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Ibu Pejabat Maritim Malaysia.