Tindakan pemimpin negara Arab satu pengkhianatan kepada penduduk Palestin
PUTRAJAYA – Tindak-tanduk pemimpin negara Arab yang hanya mengecam kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Palestin terutamanya di Tebing Gaza merupakan satu pengkhianatan kepada penduduk negara tersebut.
Pengarah Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Muhammad Fauzi Asmuni berkata, kecaman tanpa sebarang tindakan tegas akan terus dikenang sebagai episod luka kegagalan pemimpin Arab menjaga tapak suci Baitul Maqdis.
“Dukacita pemimpin Arab menjadi manusia tuli. Diam, kaku dan bungkam. Di seluruh dunia rakyat turun di jalanan membantah pembantaian oleh rejim Zionis.
“Tetapi pemimpin dunia kuasa besar dan pimpinan Arab tidak pernah mengambil endah suara rakyat. Perbuatan mereka itu bakal menjatuhkan karier politik dan menghumban diri ke neraka,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.
GSPP hari ini turut menyenaraikan lapan tuntutan kepada pemimpin negara Arab sebagai laluan kepada menyelesaikan konflik di sana.
Antaranya, GSPP menuntut supaya negara Arab menyertai perang pembebasan Palestin dengan menghantar bantuan ketenteraan kerana ia termasuk dalam jihad melawan musuh Islam dan kewajipan mempertahankan Masjid Al-Aqsa.
GSPP turut menuntut supaya sempadan Rafah dibuka secara kekal bagi tujuan menyelamatkan nyawa, mengeluarkan warganegara asing, kemasukan bantuan perubatan, bekalan makanan, air dan bahan api.