Berita Semasa

Perlis wajibkan tulisan Jawi pada papan tanda perniagaan

KANGAR – Kerajaan Perlis akan mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada setiap papan tanda premis perniagaan di seluruh negeri itu bermula 1 Februari hadapan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, penguatkuasaan berkenaan turut membabitkan papan tanda iklan atau ‘billboard’ serta papan tanda jalan di taman perumahan serta kawasan kejiranan di negeri ini.

“Kerangka garis panduan terhadap penguatkuasaan berkenaan sedang berada pada fasa terakhir untuk dimuktamadkan, namun ketetapan sudah pun dibuat di mana bermula 1 Februari akan datang, kita akan mewajibkan setiap papan tanda premis perniagaan serta iklan di negeri ini wajib mempunyai tulisan jawi padanya.

“Kewajipan ini adalah membabitkan permohonan baharu mana-mana premis perniagaan yang mahu menaikkan papan tanda premis perniagaan mereka yang baharu tanpa mengganggu papan tanda iklan yang sedia ada.

“Selain itu, ramai generasi hari ini, tidak begitu tahu akan perihal tulisan jawi ini jadi ini juga adalah sebagai usaha untuk mendedahkan semula tulisan ini kepada mereka,” katanya memetik laporan Awani hari ini.

Asrul Aimran berkata, dalam masa yang sama, menerusi garis panduan yang akan dimuktamadkan itu nanti, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Munsyi Jawi bagi memastikan kaligrafi jawi yang digunakan itu betul dan tepat.

“Papan tanda premis perniagaan ini akan membabitkan dwibahasa iaitu bahasa Melayu menerusi tulisan rumi dan tulisan jawi manakala sekiranya papan tanda premis itu turut mempunyai bahasa ibunda yang lain seperti bahasa Mandarin atau Tamil, ia tetap tidak mempunyai masalah untuk menyertakan sekali bersama tulisan jawi pada papan tanda itu.

“Malah, penguatkuasaan ini turut membabitkan semua premis perniagaan yang mempunyai lesen operasi daripada Majlis Perbadaran Kangar tanpa mengambil kira sama ada premis perniagaan itu menjual barangan tidak halal atau sebaliknya,” katanya.

Selain Perlis, Kelantan, Kedah, Pahang dan Melaka sudah pun memulakan langkah memperkasakan tulisan jawi pada setiap papan tanda premis perniagaan serta iklan di negeri masing-masing sebelum ini.

Show More

Related Articles

Back to top button