Google, Enovix Corporation, Microsoft, TikTok sedia tambah pelaburan di Malaysia – PM
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa syarikat gergasi dunia bersedia untuk melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran.
Perdana Menteri berkata, ia selepas beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi teknologi seperti Google, Enovix Corporation, Microsoft dan TikTok di San Francisco, Amerika Syarikat.
“Dalam pertemuan ini kesemua syarikat telah memberi perakuan melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran.
“Kesemua syarikat ini turut mengakui sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas merupakan antara faktor penting yang menarik minat mereka untuk melabur di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan dalam laman Facebooknya.
Pertemuan itu turut dihadiri, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Semasa pertemuan ini, Google diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan merangkap Ketua Pegawai Kewangannya, Ruth Porat; Enovix Corporation diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Ajay Marathe; Microsoft Asia oleh Presidennya, Ahmed Mazhari sementara TikTok oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shou Zi Chew.
Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan komitmen Malaysia untuk memberikan proses kelulusan pantas kepada semua pelabur.
Beliau berkata, komitmen yang ditunjukan itu telah menambah keyakinan kepada syarikat-syarikat ini terhadap negara.
Sementara itu Anwar berkata, selepas pertemuan itu beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Jim Coulter yang merupakan Rakan Pengasas, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah TPG, sebuah syarikat pengurusan aset alternatif utama global.
Anwar berkata, beliau berharap pertemuan dengan kesemua syarikat gergasi ini dapat membawa manfaat kepada negara dan rakyat keseluruhannya.