Erdogan akhirnya gelar Israel sebagai pengganas
ANKARA – Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan akhirnya menyelar negara haram Israel sebagai negara pengganas yang melanggar undang-undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin.
Ketika berucap di dalam sidang Parlimen negara itu, Erdogan berkata, Israel telah menakutkan dunia dengan memiliki bom atom dan nuklear untuk membenarkan kekejaman dilakukan di Palestin.
Beliau juga berkata, Perdana Menteri IsraeL, Benjamin Netanyahu juga tidak akan kekal berkuasa kerana ditentang oleh rakyatnya sendiri.
“Saya secara sedar mengisytiharkan Israel adalah negara pengganas.
“Kamu (Israel) boleh memiliki sebanyak mana bom yang kamu mahukan, tapi kamu sedang menuju kehancuran,” katanya.
Dalam ucapannya, Erdogan mengulangi pendirian Turkiye yang mengiktiraf Hamas sebagai parti pemerintah dan bukannya pengganas.
Israel sejak dua hari lalu mengerahkan tenteranya menyerbu hospital Al-Shifa iaitu hospital terbesar di Gaza selepas mendakwa Hamas menggunakan bahagian bawah hospital itu sebagai terowong bawah tanah mereka.