Berita Semasa

Lagi kes harimau baham orang

GUA MUSANG – Seorang lelaki warga asing maut akibat dibaham seekor harimau belang ketika menoreh getah di Ladang Meranto, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa berusia 22 tahun dikatakan bersama isterinya sedang menoreh getah di ladang berkenaan sebelum diserang harimau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, mangsa yang mengalami kecederaan parah di leher dibawa oleh empat rakan senegaranya ke Hospital Gua Musang (HGM).

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas menerima rawatan kecemasan.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat serangan harimau,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan meneruskan pemasangan kamera dan perangkap harimau dalam usaha mengesan binatang berkenaan.

Terdahulu, Perhilitan Kelantan masih menyiasat di lokasi kejadian berhubung seorang warga Indonesia ditemui dalam keadaan mengerikan di Hutan Simpan, Jalan Sri Bintang, Kampung Meranto, di sini, dipercayai dibaham harimau belang.

Mangsa ditemukan oleh seorang lelaki warga tempatan yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kawasan terbabit.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani, berkata sejurus menerima maklumat jam 10 pagi kelmarin dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, anggotanya bersama pasukan mencari digerakkan ke lokasi kejadian, berjarak kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

Show More

Related Articles

Back to top button