Politik

Mesyuarat tergempar Bersatu malam ini bincang dua Ahli Parlimen sokong PM Anwar

CYBERJAYA – Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini susulan tindakan dua lagi Ahli Parlimennya menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terbaharu, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) mengikut jejak langkah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdu Khalid (Kuala Kangsar) serta Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) yang terlebih dahulu berbuat demikian pada bulan lalu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu bercanggah dengan pendirian dan telah melanggar disiplin parti selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan Perikatan Nasional (PN).

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membincangkan perkembangan terbaharu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata, beliau mendapat maklumat ada gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu dan PN dengan sokongan serta ugutan terhadap Ahli Parlimen.

“Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat ini dan tindakan yang lebih tegas akan diambil,” katanya.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen PN yang menyokong Anwar itu mendakwa berbuat demikian bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dalam mendapatkan peruntukan kerajaan pusat.

Iskandar dan Suhailu sudah dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu yang menggantung keahlian mereka masing-masing empat serta enam tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button