Cukai Keuntungan Modal dijangka hasilkan sekitar RM800 juta setahun
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) dijangka menghasilkan kutipan sekitar RM800 juta setahun berdasarkan trend pindah milik saham beberapa tahun terkini.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam berkata, CGT yang dijangka dikenakan mulai 1 Mac tahun depan itu hanya akan dikenakan kepada pelupus saham tidak tersenarai yang terdiri daripada syarikat, perkongsian liabiliti terhad, koperasi dan badan amanah, sama ada entiti tempatan ataupun asing yang merupakan pemegang saham di dalam sesuatu syarikat.
“Bagi tujuan ini, pindaan perundangan yang terlibat sedang dilaksanakan.
“Garis panduan akan turut dikeluarkan bagi memberi penerangan yang lebih jelas berkaitan pelaksanaan CGT,” kata MoF.
Bagaimanapun, keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan CGT ke atas saham tersenarai adalah bagi memastikan pasaran modal terus berkembang bagi syarikat-syarikat tersenarai sedia ada dan selari dengan usaha untuk mengekalkan keyakinan pelabur.
“Langkah ini juga akan dapat meningkatkan tahap daya saing pasaran modal negara di peringkat global,” kata kementerian bagi menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya).
MoF berkata, setelah mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pemegang taruh, kerajaan berpandangan langkah awal melaksanakan CGT dengan tumpuan ke atas pelupusan saham tidak tersenarai dalam syarikat tempatan oleh pembayar cukai selain individu adalah wajar.
Antara pemegang taruh yang turut memberikan maklum balas adalah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA).
“Langkah ini adalah selari dengan hala tuju mempermudah serta menambah baik aspek pentadbiran cukai, di samping sebagai salah satu usaha untuk mempelbagaikan sumber hasil pendapatan negara,” katanya lagi.