Hanya yang lahir tahun 2007 dipanggil sertai PLKN 3.0
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menjelaskan hanya remaja yang lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 sekiranya ia dilaksanakan pada tahun hadapan.
Katanya dalam satu kenyataan, untuk PLKN 3.0 pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran.
“Mengenai penetapan had umur pelatih yang akan menjalani PLKN 3.0, kerajaan
akan melaksanakannya dengan pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran.
“Ini bermaksud, ada garis permulaan
tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0. Sebagai contoh, sekiranya PLKN 3.0 dilaksanakan pada tahun 2024, maka remaja yang hanya lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut.
“Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas
sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan. Had maksimum
untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan berharap agar penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0.
Baru-baru ini kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah yang baharu PLKN 3.0 selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
Bagaimanapun sejak semalam tular mengenai had umur program itu yang turut melibatkan umur peserta hingga 35 tahun.