Berita Semasa

KPDN kesan 68 premis jual ayam melebihi RM9.40 sen

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan 68 premis di seluruh negara menjual ayam pada harga melebihi RM9.40 sen sekilogram di hari pertama penamatan subsidi dan kawalan ke atas harga ayam.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setakat jam 1 petang hari ini, sebanyak 1484 premis di seluruh negara telah diperiksa dan dipantau pihak KPDN.

“Daripada jumlah tersebut, terdapat 4.6 peratus iaitu 68 premis telah menjual ayam di atas harga RM9.40 bagi sekilogram, maksudnya ada berlaku penjualan pada kadar yang tinggi daripada harga kawalan sebelum ini.

“Kalau dari segi julat, paling murah yang kita dapat RM6.49 sen di Mersing (Johor) bagi satu kilogram dan paling tinggi kita dapat RM11 di Rompin (Pahang) dan Manir (Terengganu) bagi di semenanjung,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) bersama Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam serta anggota-anggota KPDN melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga ayam di Lotus IOI City Mall Putrajaya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, KPDN telah menggerakkan anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Aka Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] bagi memantau situasi harga ayam yang diapungkan dan memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

“KPDN komited dalam menjalankan pemantauan harga barang yang dilaksanakan oleh lebih daripada 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN setiap hari melibatkan hampir 1,500 premis meliputi pasar basah, hypermarket dan supermarket, pasar mini dan kedai rucit seluruh Malaysia,” katanya lagi.

Pada Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam.

Kata Mohamad Sabu, penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang ketika ini ia turut dinikmati warga asing dan berpendapatan tinggi.

Sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 billion untuk subsidi telur dan ayam, justeru penamatan subsidi dan kawalan harga ayam itu, dijangka dapat menjimatkan kira-kira RM100 juta sebulan yang diperuntukan untuk subsidi bahan mentah itu.

Show More

Related Articles

Back to top button