Berita Semasa

Malaysia sokong Sesi Khas Kecemasan ketika UNGA hari ini

Tindakan secara berseorangan tidak cukup untuk perjuangkan hak Palestin

PUTRAJAYA – Malaysia menyokong gesaan diadakan Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di Ibu Pejabat PBB New York, Amerika Syarikat pada 26 Okt.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia bersama Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timur Leste dan Vietnam menyokong permohonan kumpulan negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyambung semula Sesi Khas Kecemasan ke-10 pada perhimpunan berkenaan.

“Sebagai sebuah negara yang menyokong kuat langkah rakyat Palestin, Malaysia kekal teguh dalam menyuarakan sokongan negara ini terhadap hak pemilikan rakyat Palestin untuk menentukan sendiri dari pendudukan berpanjangan dan pengilhakkan wilayahnya yang diceroboh sejak 1967.

“Malaysia komited untuk menyertai Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Asia Barat pada 24 Okt dan Sesi Khas Emergency pada Perhimpunan Agung pada 26 Okt (hari ini),” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, sokongan itu dinyatakan Malaysia susulan ada negara yang menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi sewaktu ucapan dalam Majlis Keselamatan berkenaan situasi getir di Palestin yang diduduki Israel, termasuk Timur Baitulmuqaddis.

Pada masa yang sama, Malaysia turut menggesa pengisytiharan gencatan senjata ke atas kesemua tindakan keganasan termasuk provokasi, hasutan dan kemusnahan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Malaysia mahu memberi peringatan kepada semua negara bahawa tindakan secara berseorangan tidak cukup untuk memperjuangkan hak asasi manusia kerana masih ada negara yang mengabaikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

“Malaysia berpegang teguh dengan pendirian negara ini bahawa Palestin berhak berdaulat dan memiliki negara merdeka, berdasarkan persempadanan pada 1967, dengan Timur Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya.

“Selain itu, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak ke arah penyelesaian konflik yang aman dan damai,” kata Wisma Putra.

Show More

Related Articles

Back to top button