Kerajaan selaraskan subsidi bagi pastikan tiada wang rakyat dibazirkan
KUALA LUMPUR – Penyelarasan subsidi yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 adalah bagi memastikan kerajaan tidak membazirkan wang rakyat dengan menyenangkan lagi golongan yang mampu, dan bukannya bertujuan membebankan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah penting mengambil tanggungjawab dan menjaga tata kelola supaya Malaysia menjadi sejahtera dan adil kepada semua.
“Saya menekankan yang saya bukan anti-maha kaya, namun kita haruslah bersifat adil kepada golongan rentan yang memerlukan,” kata Anwar dalam satu hantaran di laman Facebook milik beliau, hari ini.
Berucap di simposium ‘The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia’ pagi tadi, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai keutamaan dan tanggungjawab kerajaan dalam menutup ketirisan dan menghapus segala kebobrokan sebelum menimbangkan cukai penggunaan baharu.
“Sayugia, kerugian berpuluh bilion ringgit yang telah berdekad ditanggung kerajaan haruslah dicakup semula agar ia dapat dilabur demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani pada Jumaat lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun hadapan.
Hasil penjimatan subsidi ini sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion, kata beliau.