Berita Semasa

Kerajaan cadang naikkan elaun pasukan Smart – TPM

PUCHONG – Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar elaun khas bagi anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) dalam masa terdekat, demikian kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, cadangan itu adalah bagi menghargai pasukan Smart yang bertungkus-lumus setiap kali berlaku bencana, sekali gus dapat meningkatkan motivasi mereka.

“Untuk itu adalah muhasabah jika elaun mereka, dipanggil elaun kesusahan dapat dipertingkatkan.

“Ini untuk memberikan motivasi dan menggalakkan hanya mereka yang terbaik daripada pasukan mereka dapat dipilih ke Smart,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2023 di Markas Smart, Pulau Meranti, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, adalah wajar untuk meningkatkan kadar bayar elaun pasukan tersebut kerana Smart diiktiraf antara pasukan mencari dan menyelamat yang terbaik di dunia.

“Baru-baru ini mereka pergi ke Turkiye apabila berlaku gempa bumi dan ianya mendapat pengiktirafan daripada Presiden Turkiye sendiri, Recep Tayyib Erdoğan.

“Mereka juga dapat pengiktirafan daripada beberapa agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Apabila berlaku tanah runtuh, mereka sampai dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan agar jumlah anggota bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikannya ditambah kepada tujuh agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kini pasukan Smart dianggotai seramai 141 orang melibatkan tiga agensi utama. Kita mencadangkan keterlibatan sekurang-kurangnya tujuh agensi yang lain.

“Ini termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia hendaklah dimobilisasikan dalam pasukan Smart ini,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button