Insiden tanah runtuh Batang Kali bukan berpunca daripada aktiviti manusia
PUTRAJAYA – Insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 nyawa pada tahun lalu bukan berpunca daripada antropogenik (aktiviti manusia).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, analisis forensik Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) mendapati punca utama runtuhan adalah disebabkan kejadian hujan lebat.
“Ia akibat daripada kombinasi jumlah hujan major bagi tempoh lima hari dan hujan Anteseden kumulatif 30 hari sebelum runtuhan berlaku yang mana masing-masing 118.6mm dan 444.8mm,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan, hari ini.
Hujan lebat pada ketika itu telah menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan yang meliputi kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus dengan sisa runtuhan tanah sehingga berlaku kerosakkan harta benda dan kehilangan nyawa.
“Siasatan tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh ini,” ujar beliau.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, laporan forensik JKKTR telah dimajukan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kerajaan Selangor untuk dinyahklasifikasi bagi membolehkan hasil siasatan berkenaan dicapai oleh orang awam.
Kerajaan Selangor bersetuju untuk menyahklasifikan laporan tersebut pada 5 Oktober lalu dan ia telah diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk tindakan lanjut.
“Laporan penuh JKKTR ini boleh diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang Nadma, mulai 10 pagi esok,” katanya.
Tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang berlaku pada 16 Dis lalu melibatkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban.
Kejadian menyayat hati tersebut meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.