Berita SemasaDalam Negeri

Menteri Pengajian Tinggi bantu 30 asnaf sekitar Kampung Pasir Panjang Laut

Oleh AMIR SARIFUDIN

MANJUNG – Aidilfitri yang menjelang tiba cukup bermakna bagi 30 orang asnaf sekitar Kampung Pasir Panjang Laut di sini apabila menerima bantuan daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Bantuan berupa telur ayam, minyak masak, sardin, gula, biskut dan beberapa barangan lagi itu diserahkan dalam satu majlis di Masjid Al-Wataniah, Kampung Pasir Panjang Laut  dalam satu majlis di sini, baru-baru ini.

Penyerahan bantuan itu diwakilkan kepada Setiausaha Sulit Khasnya, Datuk Azri Jaafar dan Pegawai Khas kementerian berkenaan, Datuk Rashidi Ibrahim.

Majlis penyerahan itu juga amat bermakna bagi asnaf-asnaf berkenaan apabila Ahli Parlimen Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail turut hadir menyampaikan bantuan.

Azri Jaafar (tengah) dengan dibantu Zulkefli Abu Bakar (dua dari kiri) menyampaikan bantuan hasil sumbangan Menteri Pengajian Tinggi kepada asnaf di Masjid Al-Wataniah, Kampung Pasir Panjang Laut, Manjung, Perak.

Aktivis kemasyarakatan serta usahawan yang menguruskan program tersebut secara sukarela, Zulkefli Abu Bakar ketika ditemui memberitahu, pihanya telah mengenal pasti asnaf yang benar-benar layak menerima bantuan tersebut.

“Mereka adalah sebahagian daripada kumpulan asnaf sekitar kawasan ini.

“Daripada kumpulan asnaf yang ada, kita kenal pasti 30 asnaf untuk menerima bantuan tersebut,” katanya.

Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Kampung Pasir Panjang Laut, Syamsul Faiz Abd. Azizi dan usahawan Mohamed Yunus Abdullah.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Hamidah Yeop Hamzah, 65, berkata, sejak kematian suaminya 10 tahun lalu, dia hanya mampu mencari nafkah dengan kerja-kerja membersihkan rumah-rumah jiran.

Hamidah yang tinggal sebatang kara memberitahu, dari kerja-kerja itu dia akan memperolehi pendapatan RM200 hingga RM300 sebulan bergantung kepada jumlah upah yang diterima.

“Dengan pendapatan itu, saya tidak mampu membayar bil air dan elektrik. Sebaliknya anak saudara saya bantu bayarkan.

“Sejak suami meninggal, saya tinggal seorang diri dan kami tidak mempunyai zuriat.

“Sejak10 tahun lalu, apabila tiba Ramadan saya akan berbuka puasa seorang diri.

Apabila menjelang Aidilfitri, anak saudara saya akan belikan sepasang baju raya,” katanya menahan sebak.

Hamidah yang tidak menerima sebarang bantuan bulanan berkata, dia amat bersyukur dan berterima kasih kerana ada pihak yang prihatin seperti Menteri Pengajian Tinggi dan juga usahawan, Zulkefli Abu Bakar.

Hamidah Yeop Hamzah

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button