
Lebih 172,000 kenderaan masuk Terengganu sempena Aidilfitri
KUALA TERENGGANU – Sebanyak 172,331 kenderaan direkodkan memasuki Terengganu sejak Jumaat lalu melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan jalan persekutuan yang bersempadan dengan Pahang serta Kelantan sempena sambutan Aidilfitri.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, LPT2 mencatatkan jumlah kemasukan tertinggi iaitu sebanyak 152,331 kenderaan.
“Selain itu, sebanyak 20,000 kenderaan direkodkan memasuki negeri itu melalui jalan persekutuan, antaranya di Kuala Kemaman dari arah Kuantan dan sempadan Jertih dari arah Pasir Puteh, Kelantan.
“Jumlah kemasukan tertinggi direkodkan di LPT2 pada Sabtu (30 Mac) dengan 65,975 kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops Selamat 34 Aidilfitri di Plaza Tol Kuala Terengganu (Tol Gemuruh) hari ini.
Sementara itu, Mohd Khairi memaklumkan seramai 260 pegawai dan anggota polis, termasuk di peringkat daerah, telah ditempatkan sepanjang Ops Selamat yang berlangsung dari 29 Mac hingga 3 April ini.
Beliau berkata, sebanyak 25 lokasi sesak dan 21 kawasan kerap berlaku kemalangan (blackspot) telah dikenal pasti di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.
“Enam kawasan sesak yang dikenal pasti ialah Kuala Terengganu, Besut (lima lokasi), Marang (empat), Kemaman (tiga), Dungun (tiga), Hulu Terengganu (dua) dan Setiu (dua).
“Bagi kawasan blackspot pula, Marang mencatatkan enam lokasi, diikuti Besut (empat), Kuala Terengganu (tiga), Setiu (tiga), Kemaman (dua), Hulu Terengganu (dua) dan Dungun (satu),” jelasnya.
Ops Selamat 34 Aidilfitri dilaksanakan bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya dan memastikan keselamatan penduduk yang pulang ke kampung untuk meraikan perayaan bersama keluarga.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |