Berita Semasa

Budaya kongsi rezeki: Tradisi keluarga sambut Ramadan dan Aidilfitri

SETIAP kali Ramadan dan Aidilfitri menjelang, suasana berbuka puasa dan persiapan hari raya menjadi saat yang dinanti-nantikan oleh setiap keluarga.

Melalui satu hantaran di Facebook, seorang pengguna media sosial, Zarini Jaafar menulis tentang tradisi berkongsi rezeki dalam kalangan ahli keluarga.

Tangkap layar status yang dimuat naik Zarini mengenai berkongsi rezeki dalam membuat persiapan Aidilfitri.

Ujarnya, tindakan itu bukan sahaja mempereratkan hubungan, malah mengekalkan semangat gotong-royong yang diwarisi sejak dahulu.

Dalam perkongsiannya, Zarini menceritakan bagaimana ibu mertuanya memainkan peranan dalam memastikan semua anak-anak turut serta menyumbang dalam persiapan berbuka puasa.

“Jika anak A dah beli lauk, anak B dah masak kat dapur, nanti mak akan cakap pada anak yang belum beli apa-apa macam ni.

“Belikan mak tembikai sebiji untuk berbuka atau belikan mak gula sekilo.

“Jadi anak itu juga beli apa-apa untuk makan bersama ramai-ramai

“Nilai itu tak penting. Yang penting semua keluar belanja atau tenaga untuk makan bersama-sama,” tulisnya.

Menurut Zarini, amalan tersebut bukanlah sesuatu yang baharu dalam keluarganya.

Ketika ibu dan bapanya masih hidup, mereka telah mengamalkan sistem berkongsi wang untuk persiapan raya.

“Malam itu berkumpul dan bincang nak beli apa untuk raya.

“Keluar 50 ringgit sorang. Jika tujuh orang balik, ada RM 350. Beli lauk pauk untuk berbuka dan raya.

“Duit itu bagi siapa yang pergi beli (barang). Jika abang A pergi beli, yang lain nanti tolong masak sama-sama,” jelas beliau lagi.

Tambahnya adik-beradik 10 orang terdiri daripada lapan lelaki dan dua perempuan.

“Yang lelaki pun masuk dapur tolong sediakan bahan-bahan mak masak.

“Kemudian mak ayah meninggal.. kami masih cara sama. Balik beraya ramai-ramai. Letak duit kongsi-kongsi belanja raya apa nak beli, bajet dari duit itulah,” katanya.

Malah, Zarini menegaskan duit raya untuk kanak-kanak yang datang beraya juga hasil perkongsian tersebut.

“Satu sampul saja bagi bila tetamu kanak-kanak datang. Macam itulah setiap tahun.

“Walaupun mak ayah dah tak ada. Abang-abang juga ramai dah tak ada, tapi tetap juga berkongsi duit lauk dan keperluan raya.

“Berkumpul untuk kenangan yang menggembirakan. Pakat-pakat dari duit belanja, kerjasama memasak dan kemas rumah,” kata menutup penulisan tersebut.

Setakat ini, status tersebut telah meraih 5,500 reaksi, 402 komen dan 1,500 perkongsian.

Apa yang pasti, tradisi sebegini mengajar nilai kebersamaan dan keikhlasan dalam berkongsi rezeki.

Bagi keluarga yang masih mengamalkan budaya seperti ini, ia menjadi satu inspirasi kepada masyarakat dalam mengekalkan keharmonian dan kebahagiaan bersama, lebih-lebih lagi dalam bulan penuh keberkatan seperti Ramadan dan Syawal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button